Wednesday, October 24, 2007

AKU BANGGA DENGANMU - SYED MUZAFFAR SYUKOR ( ANGKASAWAN PERTAMA MALAYSIA )

Alhamdulillah...syukur ke hadrat Ilahi, ke atas rahmat yang telah diberikan kepada negara Malaysia ini. Pelbagai Kemuadahan dan keistimewaan terdapat di sini, yang sentiasa aman damai dan harmoni. hari ini aku telah berbangga sangat menjadi salah seorang rakyat yang terlibat dalam menyaksikan sejarah dunia iaitu seorang rakyat Malaysia menjadi Angkasawan pertama malaysia. Aku bangga denganmu DR SYED MUZAFFAR SYUKOR. namun lumrah alam san adat dunia, dimana setiap yang baik itu akan dihina dan diherdik oleh segelintir manusia yang mempunyai sifat terlalu banyak iri hati malah ada yang mempunyai sifat "busuk hati". Cuba kite semua lihat laman blog ni, dimana banyak sangat mengkritik dan cuba menjatuhkan semangat kita. Tapi bukan penulis blog ni yang mengkritik pasal ni, tapi die yang membuka dan membincangkan isu tentang sebuah akhbar luar negara yang mengkritik hebat negara kita tentang angkasawan ini. Kalau lah kite berada di kedudukan angkawan kite ni, tak terucap dengan kata-kata apa yang telah dilihat. Luasnya alam dan besarnya kekuasaan Allah sampai tak terjangkau dari daya pemikiran manusia. dibawah ini adalah mengenai angkasawan kebanggaan aku. IMPIAN sudah menjadi kenyataan. Kejayaan angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha menyertai misi 11 hari di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dan pulang ke bumi dengan selamat petang kelmarin membuka lembaran baru kepada Malaysia untuk meneroka lebih jauh industri aeroangkasa. Walaupun detik bersejarah itu tercatat 46 tahun selepas kejayaan angkasawan pertama, Yuri Gagarin dari Russia membuat pusingan bersejarah mengelilingi bumi, ia belum terlewat. Walaupun kedudukan beliau sebagai angkasawan ke-141, ia amat bermakna kepada Malaysia kerana ia terlaksana bersempena 50 tahun usia kemerdekaan negara. Malah kita berbangga kerana beliau berjaya menyelesaikan tanggungjawabnya melakukan penyelidikan dan eksperimen berkaitan sains termasuk kesan mikrograviti dan radiasi angkasa ke atas sel normal dan sel kanser. Seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Moscow kelmarin, rakyat Malaysia sewajarnya berbangga kerana negara tergolong dalam kumpulan elit peneroka angkasa lepas. Kejayaan Dr Sheikh Muszaphar akan menjadi perangsang kepada generasi masa kini dan akan datang untuk menguasai bidang sains angkasa. Walaupun Malaysia negara kecil, pemimpin dan rakyatnya tetap berjiwa besar. Jika kita memberi tumpuan kepada apa yang hendak dibuat, impian sukar pun boleh menjadi kenyataan. Namun, kejayaan yang dicipta itu tidak harus terhenti di situ saja, sebaliknya perlu ada kesinambungan. Justeru, memang wajar Malaysia menerima tawaran Agensi Angkasa Russia (Roscosmos) untuk menghantar angkasawan kedua bagi menjalankan misi lebih besar di ISS pada penghujung 2010 atau awal 2011. Kita percaya kerajaan akan mempertimbangkan dengan teliti butiran tawaran itu dari pelbagai aspek termasuk kos dan manfaat keseluruhan yang bakal diperoleh. Dalam hal ini, rakyat perlu diyakinkan bahawa program angkasawan tidak sia-sia, apa lagi membazirkan wang. Program itu adalah pencetus inspirasi yang memberi manfaat jangka panjang, sekali gus membuktikan komitmen Malaysia untuk bersama-sama negara besar meneroka angkasa lepas. Suara Orang Muda: Muszaphar lakar kegemilangan baru dunia Islam Bersama Noraini Ahmad norainiputeri@yahoo.com "DAH besar nanti, Afiq nak jadi angkasawan!" Itulah jawapan yang tiba-tiba terpacul dari mulut seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang juga anak kepada seorang teman, ketika ditanya mahu jadi apa setelah dewasa kelak. Tergaman seketika mendengar jawapan yang diberikan anak kecil itu yang mungkin tidak pernah terfikir oleh minda anak-anak kecil kita sebelum ini, sedang kita yang sudah dewasa juga pun tidak pernah mengimpikan Malaysia akan melahirkan seorang angkasawan selepas 50 tahun negara merdeka. Anak kecil itu adalah salah seorang daripada jutaan kanak-kanak di negara ini yang mengikuti perkembangan kejayaan Malaysia melakar satu lagi sejarah di persada dunia, melahirkan cosmonaut atau angkasawan pertama negara yang telah selamat pergi dan pulang dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Kapsul kapal angkasa Soyuz TMA-10 yang membawa angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha selamat mendarat di bumi dekat bandar Arkylk, Kazakhstan tepat jam 2.37 petang waktu tempatan atau 6.37 petang waktu Malaysia, kelmarin. Kalau kita buka mana-mana rangkaian radio sejak hari pemergian Dr Sheikh Muszaphar sehinggalah sehari selepas beliau kembali ke bumi semalam, tidak putus-putus panggilan ucapan tahniah diberikan rakyat Malaysia buat beliau. Malah, ada ibu yang turut mendoakan semoga anak kecil mereka mengikut jejak Dr Sheikh Muszaphar. Ramai anak muda kita turut menonton siaran yang dipancarkan secara langsung di kaca televisyen dan mendapat liputan meluas media itu juga tiba-tiba turut sama mengimpikan untuk menjadi angkasawan kerana kagum dengan pencapaian angkasawan ulung kita. Satu impian yang kini sudah dijadikan satu kenyataan oleh anak muda berusia 36 tahun itu. Kejayaan Dr Sheikh Muszaphar yang telah selamat pulang dari ISS, kelmarin dengan membawa bersamanya gelaran cosmonaut atau angkasawan pertama negara bukan saja melakar satu lagi sejarah kegemilangan baru bagi Malaysia di mata dunia, malah berjaya menyuntik semangat lebih ramai anak muda di negara ini termasuk anak anak kecil untuk mengikuti jejaknya. Ia adalah kemuncak kejayaan yang dikongsi dan dirasai seluruh warga Malaysia selepas Program Angkasa Negara ditandatangani antara kerajaan Malaysia dan Russia pada 5 Ogos 2003. Setinggi-tinggi tahniah dan syabas buat Dr Sheikh Muszaphar dan tidak lupa juga kepada seorang lagi wira kita, calon angkasawan kedua negara, Kapten Dr Faiz Khaleed. Selain mengharumkan nama negara, Dr Sheikh Muszaphar yang juga doktor bedah ortopedik, mencatat sejarah sebagai orang Islam pertama berpuasa dan menyambut Aidilfitri di angkasa lepas. Beliau sekali gus berjaya melakukan penyelidikan dan eksperimen berkaitan sains termasuk kesan mikrograviti dan radiasi angkasa ke atas sel normal dan sel kanser, selain eksperimen mengenai kadar pembentukan bakteria dan tahap rintangannya. Sebagai sebuah negara Islam, kejayaan kita juga menjadi pelopor kepada usaha negara Islam mengembalikan kegemilangan tamadun ilmu berkaitan angkasa lepas kepada umat Islam. Ia juga mengangkat kedudukan Malaysia selaku pemimpin Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) ke tahap lebih tinggi di mata dunia. Kejayaan Dr Sheikh Muszaphar kini meniti bukan saja di bibir seluruh warga Malaysia tidak kira di mana mereka berada, malah umat Islam seluruh dunia. Ia dicapai bukan saja hasil kesungguhan kerajaan dan anak muda itu sendiri, malah semangat kental dan keyakinan yang tinggi berbekalkan slogan 'Malaysia Boleh'. Selepas melalui pelbagai laluan sukar Dr Sheikh Muszaphar terpilih di kalangan 11,275 pemohon yang berminat untuk menjadi angkasawan pertama negara bersama calon angkasawan kedua negara yang turut terpilih, Kapten Dr Faiz Khaleed, yang insya-Allah akan meneruskan latihan sebagai angkasawan di Pusat Latihan Angkasawan Gagarin (GCTC), Star City. Kejayaan yang dicipta angkasawan ulung negara itu juga selari dengan usaha melahirkan towering personality atau personaliti unggul dan juga modal insan cemerlang seperti digagaskan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Usaha memperkembang dan memajukan bidang sains angkasa negara tidak harus terhenti selepas Dr Sheikh Muszaphar berjaya ke ISS. Misi ke angkasa perlu diteruskan dengan melahirkan lebih ramai angkasawan Malaysia. Kos yang tinggi juga tidak harus dijadikan halangan jika kita mahu hasil jangka panjang memberi manfaat kepada negara dan bangsa. Kita telah meletakkan Malaysia dalam kumpulan elit negara peneroka angkasa lepas. Rakyat Malaysia harus memberi sokongan padu dalam kita meneruskan kejayaan meneroka angkasa lepas. Kita mahu supaya kejayaan angkasawan pertama negara itu menjadi contoh dan perintis kepada kejayaan lebih besar ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara lebih cemerlang, gemilang dan terbilang di persada dunia.

2 comments:

punjunk said...

sihmeka

LaDies 09 said...

ayyoooyyooo mak pakcik knp tlisan kecik sngt..x blh baca maaa...